Keyakinan diri merupakan perkara yang dianggap rumit untuk dijelaskan. Bukan semua dari kita memilikinya. Walau bagaimana pun, ada yang memilikinya sejak dilahirkan.
Ramai yang percaya bahawa keyakinan diri merupakan kualiti yang hanya ada pada kalangan tertentu sahaja. Kualiti ini memberikan banyak kelebihan dalam kehidupan seharian, lebih lagi dalam urusan pekerjaan.
“..Sekiranya anda tidak mempunyai keyakinan diri, anda adalah dua kali kalah di dalam perlumbaan kehidupan. Dengan keyakinan diri, anda telah menang walaupun sebelum anda bermula..”
Kota Rom Tidak Dibina Dalam Sehari
Pasti anda pernah mendengar kata-kata ini kan?
Kota bersejarah yang sangat terkenal ini mengambil masa ratusan tahun untuk dikenali sehingga kini. Ianya bermula cuma dari seketul batu dan kepercayaan bahawa ianya akan berdiri megah satu hari nanti.
Setiap kejayaan bermula dengan sifat mempercayai kebolehan dan potensi diri sendiri. Keyakinan pada diri sendiri bermaksud mengetahui bahawa anda mempunyai potensi dan kualiti untuk berjaya.
Sayangnya dalam zaman yang serba canggih ini asas keyakinan kepada diri semakin meluntur. Ini kerana kita lebih selesa berkomunikasi secara maya dan kurang berinteraksi secara fizikal.
Ada yang aktif bersosial di media sosial, namun apabila di luar mereka lebih selesa untuk tidak berinteraksi dan lebih memilih untuk melakukan hal sendiri.
Seni Keyakinan Diri
Ramai yang menganggap keyakinan merupakan sejenis alat untuk mencapai kejayaan. Namun hakikatnya ia adalah suatu bentuk seni.
Jika ia sejenis alat, maka sesiapa sahaja dengan mudah mampu memilikinya.
Lihat sahaja seseorang yang anda jadikan sebagai inspirasi yang penuh dengan keyakinan dalam kerjaya mereka. Mereka begitu tenang dan membuatkan ia nampak begitu mudah.
Hakikatnya, bagi anda ianya tidak semudah itu untuk bermula. Saat ini anda akan mula berfikir bahawa apa anda nampak begitu mudah sebenarnya adalah mustahil.
Di sinilah ramai yang mula mengangkat bendera putih. Padahal inilah saat anda perlu meletakkan sepenuh keyakinan dan terus melangkah.
Ianya seperti mempelajari cara hayunan bola golf.
Pada permulaan anda akan merasa tidak selesa. Anda merasakan seperti ada sesuatu yang tak kena. Tetapi apabila anda terus berlatih dengan penuh tekad, lama-kelamaan menghayun bola golf akan menjadi kebiasaan.
Sesuai dengan pepatah:
“..Sesuatu perkara tidak menjadi lebih mudah, tetapi anda menjadi lebih mahir..”
0 Comments