BAGAIMANA GAYA KOMUNIKASI LAMA MENGHALANG KITA UNTUK DIDENGARI, DIFAHAMI DAN DIYAKINI
Kita hidup dalam dunia yang serba pantas. Perhatian manusia kini sangat terhad. Segala maklumat bergerak dengan pantas, dan audiens menilai sesuatu dalam beberapa saat sahaja. Namun realitinya, ramai di antara kita masih menggunakan gaya komunikasi yang lama. Kita bercakap seperti mana kita dibiasakan sejak dahulu dengan nada mendatar, terlalu formal, sarat dengan fakta, dan sangat bergantung kepada struktur yang kaku.
Kita fikir, selama mana mesej kita tepat dan penuh maklumat, ia akan sampai. Tapi dunia hari ini menilai lebih daripada itu. Gaya penyampaian yang tidak berubah ini menjadikan kita tidak lagi didengari, tidak difahami dan akhirnya, tidak diyakini. Bukan kerana kita tidak bijak, tetapi kerana penyampaian kita tidak lagi relevan.
Apabila gaya bercakap tidak dikemas kini, kesannya besar. Pertama, orang tidak memberi perhatian ketika kita bercakap. Kedua, idea yang baik tenggelam kerana cara penyampaian yang tidak berkesan. Ketiga, kita terlepas peluang untuk membina pengaruh dan meyakinkan orang lain, walaupun kita sebenarnya mempunyai isi yang bernilai. Akhirnya, kita lihat orang lain membawa mesej yang sama, tetapi mendapat perhatian dan hasil yang lebih besar kerana mereka tahu cara menyampaikan dengan lebih berpengaruh.

Apakah sebenarnya perbezaan antara gaya komunikasi lama dan moden? Gaya lama sering bersifat satu hala di mana kita bercakap, orang hanya mendengar. Tidak ada emosi, tidak ada cerita, tiada sentuhan peribadi. Gaya moden pula menekankan kepada hubungan, bukan hanya sekadar berkongsi maklumat. Ia dimulakan dengan persoalan atau konflik yang dekat dengan pendengar. Ia disampaikan dengan variasi suara, menggunakan contoh dan analogi, dan mengajak audiens untuk berfikir dan merasa, bukan hanya mendengar.
Mengapa penting untuk kita berubah? Kerana pendengar hari ini berbeza. Mereka lebih memilih dan tidak akan memberi perhatian kecuali mereka rasa terlibat. Platform juga berubah, kita bukan lagi hanya bercakap dalam bilik mesyuarat, tetapi juga dalam skrin kecil, di hadapan kamera, di media sosial. Setiap saat adalah pertarungan perhatian. Dan dalam pertarungan itu, hanya mesej yang jelas, menyentuh emosi dan mudah difahami akan menang.
Jadi, apa yang boleh kita lakukan?
Ada lima prinsip komunikasi yang penting untuk kita kuasai hari ini.
Lima Prinsip Komunikasi Moden yang Anda Perlu Kuasai:
1. Hubungan lebih penting daripada kesempurnaan
Audiens tidak mencari penyampai yang sempurna. Mereka mahu rasa difahami. Jadikan komunikasi anda lebih manusiawi, bukan robotik.

2. Sentuh emosi sebelum beri maklumat
Fakta hanya di ingat bila emosi sudah disentuh. Mulakan dengan cerita, konflik atau persoalan yang membina rasa ingin tahu.

3.Satu mesej, satu kesan
Jangan sumbatkan semua dalam satu sesi. Fokus pada satu mesej utama yang jelas dan mudah diingati.
4.Cerita lebih kuat daripada statistik
Fakta memang penting, tetapi cerita buat orang ingat. Bawa contoh sebenar, analogi, atau kisah yang dekat dengan audiens.
5.Kejelasan adalah kekuatan sebenar
Jika apa yang anda sampaikan tidak jelas, orang tidak akan faham, apatah lagi bertindak. Guna bahasa yang mudah, tidak berbelit, dan terus ke sasaran.

Kesimpulannya, komunikasi hari ini bukan lagi tentang siapa paling banyak bercakap, tetapi siapa yang paling memberi kesan ketika bercakap. Jika kita masih kekal dengan gaya lama, kita akan ketinggalan. Dunia berubah, dan komunikasi perlu bergerak bersamanya bukan untuk menjadi orang lain, tetapi untuk memastikan mesej kita benar-benar sampai.
Reference :
https://thevocket.com/9-teknik-yang-akan-membuatkan-diri-anda-bercakap-seperti-orang-bijak-pandai/
https://rizalrashid.com/teknik-hilangkan-malu/
0 Comments